Malaysia tuan rumah mesyuarat ketua-ketua imigresen Asean

KUALA LUMPUR:Malaysia dipilih menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Asean (DGICM) ke-22 yang akan berlangsung di ibu negara dari 5-9 Ogos ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurut beliau, mesyuarat tahunan itu akan membincangkan isu-isu semasa serantau termasuk  keganasan dan keselamatan, program kerjasama serta keberkesanan pengurusan kawalan sempadan serta penguatkuasaan bersama 10 negara anggota Asean.

"Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah adalah berdasarkan susunan huruf dalam kalangan negara anggota Asean.

"Selain Sekretariat Asean, Ketua-ketua Pengarah Imigresen yang bakal terlibat dalam mesyuarat DGICM kali ini termasuk dari Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel di sini, malam tadi.  

Ia adalah kali kedua Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat itu selepas julung kalinya pada 2007.

Mustafar berkata ia juga bertujuan memberi peluang kepada Ketua-ketua Pengarah Imigresen Asean untuk berbincang secara menyeluruh mengenai pengurusan imigresen di rantau ini.

Beliau berkata aktiviti pengganas asing, jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan orang dapat dibanteras dengan adanya platform sedemikian yang mana penyaluran maklumat pencegahan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui kerjasama serantau.

Penganjuran mesyuarat itu juga, katanya, dapat memberi peluang kepada pihak imigresen negara-negara Asean merangka strategi-strategi baharu untuk menghadapi cabaran keselamatan di rantau ini.- Bernama