Mujahid minta jangan sensasikan isu agama

Kerajaan perlu menjaga sensitiviti berhubung kebebasan beragama kerana Islam tidak memaksa penganut agama lain selain termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - Bernama Foto
Kerajaan perlu menjaga sensitiviti berhubung kebebasan beragama kerana Islam tidak memaksa penganut agama lain selain termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. - Bernama Foto

PARIT BUNTAR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta agar pihak yang berkenaan tidak  mensensasikan  isu mengenai  agama di negara ini.

Beliau berkata tindakan mereka itu semata-mata bertujuan merendahkan kredibiliti serta mahu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya kerajaan perlu menjaga sensitiviti berhubung kebebasan beragama kerana Islam tidak memaksa penganut agama lain selain termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang Islam adalah agama Persekutuan manakala agama lain bebas diamalkan.

"Saya minta jangan disensasikan dan saya sudah menjelaskan kenyataan saya mengenai hifzal-din (menjaga agama) dan perkara itu tidak perlu lagi saya jelaskan.

“Malangnya masih ada pihak yang menggunakan isu itu yang seolah-olah saya melakukan  dosa besar kononnya saya menyamaratakan agama," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 40 fakir miskin di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di sini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang mendesak agar Mujahid memberi jawapan berhubung kenyataan 'menjaga agama'.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata agama lain perlu dihormati serta tidak boleh dianiaya, ditindas dan didiskriminasi kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 3, 11 dan 8.

Beliau juga tidak menolak isu tersebut akan dibangkitkan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Mujahid berkata kerajaan menyokong saranan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) agar sidang Parlimen yang sedang berlangsung membawa usul tergempar mengenai keadaan di Syria, Palestin dan Rohingya.

“Saya fikir tidak susah untuk membawa isu itu untuk dibahaskan di Parlimen dan selepas itu kerajaan boleh mengeluarkan kertas putih sebagai pendirian kerajaan terhadap isu berkenaan,” katanya.

Semalam, Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid dilaporkan menggesa kerajaan Malaysia menyatakan pendirian berhubung isu tersebut menerusi usul tergempar di Parlimen.

Pada masa yang sama, Mujahid sedia menawarkan diri menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan konflik pertikaian antara penceramah agama terkemuka, Dr Zakir Naik dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Prof P. Ramasamy.

Beliau berkata cadangan itu dikemukakan setelah pihaknya menganggap penganjuran debat melibatkan dua tokoh itu secara terbuka tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini yang berbilang agama dan kaum.

Beliau berpendapat penganjuran pertemuan antara Zakir dan Ramasamy sebaiknya diadakan secara tertutup dengan beliau sendiri bersedia menjadi orang tengah bagi menjernihkan isu itu.

"Dalam suasana masyarakat negara ini yang berbilang bangsa dan agama, perdebatan secara terbuka antara dua tokoh itu bagi menentukan siapa lebih ekstremis dibimbangi akan mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

"Ini kerana segala pertuduhan dikemukakan terhadap Zakir masih belum disahkan di negara beliau sendiri iaitu India. Jadi, saya fikir Zakir mempunyai hak untuk tinggal di negara ini selagi mana beliau mematuhi undang-undang negara," katanya pada sidang media di sini.

Mujahid berkata demikian ketika diminta mengulas isu cadangan penganjuran perdebatan secara terbuka antara Zakir dan Ramasamy oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Ini susulan cadangan Ramasamy yang juga Anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, supaya Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dan negara itu tidak terjejas.

Sebelum ini, Zakir difahamkan bersetuju berdebat secara terbuka dengan Ramasamy dengan bersyarat.

Ramasamy juga dilaporkan meletakkan syarat untuknya berdebat dengan Zakir seperti dicadangkan, namun pendakwah itu diminta pulang ke negaranya terlebih dahulu bagi menghadapi dakwaan dan membersihkan namanya.

Sebelum ini beberapa portal berita melaporkan Zakir, yang akan dihantar pulang ke India kerana didakwa terbabit dengan serangan pengganas di Dhaka serta pengubahan wang haram, meninggalkan India pada 2016.

Kerajaan India telah membatalkan pasport Zakir setelah beliau banyak kali mengabaikan permintaan agar hadir di Badan Penyiasat Kebangsaan India bagi membantu siasatan. – Bernama