Penari kebudayaan cilik buat persembahan di Sydney

KUALA LUMPUR: Kumpulan penari kebudayaan Artis Cilik Setiawangsa (Arcisa) sekali lagi membuat persembahan di luar negara – kali ini di Malaysia Festival 2018 di Sydney, Australia September depan.

Kumpulan penari itu yang terdiri daripada kanak-kanak perempuan berusia enam hingga 11 tahun dijemput membuat persembahan pembukaan festival yang berlangsung selama dua hari, 1 dan 2 Sept.

Pengurus kelab itu Nazari Zain berkata kumpulan penari cilik itu pernah mewakili negara di Festival Antarabangsa Kanak-Kanak di Istanbul (2014), dan Taiwan (2016).

“Ini adalah jemputan kali ketiga Arcisa untuk membuat persembahan di luar negara dan kami harus gunakan peluang ini mempromosikan budaya Malaysia.

“Peluang ini sekaligus memberi ruang kepada penari-penari Arcisa untuk  menimba ilmu,” katanya kepada Bernama di sini.

Arcisa aktif membuat persembahan kebudayaan pada program korporat dan majlis perkahwinan selain  pernah membuat persembahan secara langsung dalam beberapa rancangan temu bual televisyen tempatan.

Dalam pada itu, bagi membantu merealisasikan impian kumpulan itu membuat persembahan di Sydney,  Nazari  merayu sumbangan kewangan daripada orang ramai untuk mengumpulkan RM20,000 bagi membantu  menampung kos tiket penerbangan mereka ke Sydney.

Sumbangan boleh disalurkan kepada Arcisa menerusi akaun Maybank 562188305207 atau hubungi Nazari di talian 013-2582668 untuk maklumat lanjut.- Bernama