Pengurus ladang bebas tuduhan menculik

TELUK INTAN: Seorang pengurus ladang yang berdepan empat tuduhan menculik dan menyembunyikan dua saksi dalam kes memperdagangkan 15 individu sebagai buruh paksa tahun lepas, dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan tersebut oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Norita Mohd Ardani selepas pendakwaan gagal membuktikan prima facie kes kedua-dua tuduhan ke atas L. Ganis, 44, dari Bahau, Negeri Sembilan.

Dalam menyampaikan keputusan itu, Norita turut memaklumkan wang jaminan tertuduh juga akan dikembalikan.

Mengikut pertuduhan pertama, Ganis didakwa menculik untuk mengurung secara salah pasangan suami isteri, P. Sundaram, 38, dan K. Shanti, 42, pada kira-kira 3 petang hujung bulan Mac lepas di hadapan sebuah kedai runcit di Pengkalan Hulu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menyembunyikan kedua-dua mangsa dengan menghantar mereka ke sebuah rumah kongsi di Ladang Kalvi Felda Bukit Besout 1, Sungkai bagi mengelak mereka memberi keterangan terhadapnya untuk kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Suffian Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam M. Haresh dan Ramzani Idris.- Bernama