Warga emas tinggal seorang diri rentung rumah terbakar

KUALA KANGSAR: Seorang wanita warga emas ditemukan rentung apabila rumah setingkat yang didiaminya terbakar di Kampung Sauk di sini malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar Mohd Taufiq Abdul Sattar berkata anggota bomba menemukan mangsa Rakizah Talib, 74, rentung dalam runtuhan di bahagian tengah rumah selepas kebakaran dipadamkan.

“Anggota bomba mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bomba bergegas ke lokasi kejadian pada 11.23 malam selepas menerima panggilan kebakaran daripada jiran mangsa.

"Setibanya di tempat kejadian, anggota bomba mendapati api marak dengan 70 peratus daripada rumah itu sudah terbakar,” katanya.

Api, bagaimanapun berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi tamat pada 3.11 pagi ini.

Beliau berkata mangsa yang tinggal seorang diri di rumah itu baharu pulang dari Kuala Lumpur.- Bernama