Seorang rentung, dua melecur kuarters guru di Mulu terbakar

Kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu berhampiran dapur satu daripada kuarters tersebut.
Kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu berhampiran dapur satu daripada kuarters tersebut.

MIRI: Seorang guru wanita rentung manakala dua lagi melecur apabila dua kuarters kediaman Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu  terbakar pada pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata berdasarkan laporan awal, dua guru wanita yang melecur hanya dikenali sebagai Syuhadah dari SK Penghulu Baya Mallang dan Siti Masrina, (sekolah belum dapat dipastikan).

“Identiti mangsa yang rentung sedang dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian pada 5.09 pagi yang dipercayai bermula di ruang tamu berhampiran dapur satu daripada kuarters tersebut, terdapat lapan penghuni sedang berada di kedua-dua kuarters berkenaan iaitu lima individu di kuarters pertama dan tiga lagi di kuarters kedua.

Katanya pasukan bomba daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) di Lapangan Terbang Mulu tiba ke lokasi kejadian pada 5.40 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.34 pagi ini.

Bernama difahamkan terdahulu, murid-murid Tahun Enam dari SK Batu Bungan, SK Long Panai dan SK Penghulu Baya Mallang mengadakan kem motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) berhampiran lokasi kejadian.- Bernama